Remaja maut dipukul bapa kekasih

SEORANG remaja lelaki meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) awal pagi Jumaat, selepas mengalami kecederaan parah.

Remaja berusia 18 tahun itu dipercayai dibelasah dua individu dalam kejadian di sebuah pusat komersil dekat Jalan Tun Jugah, Kuching.

Difahamkan, kejadian itu ada kaitan dengan tindakan mangsa merakam serta menyebarkan video lucah anak perempuan suspek yang juga kekasihnya.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki dan motif sebenar serangan terbabit masih dalam siasatan, lapor BH Online.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata polis menerima laporan kejadian terbabit jam 1 pagi Jumaat.

“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 50 tahun.

“Kes itu kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Merbin berkata, kejadian itu dipercayai berpunca hubungan intim anak perempuan seorang suspek dengan mangsa.

Tambahnya, dua suspek terbabit kini direman tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.