[VIDEO] MoU kekal, PRU-15 tidak akan diadakan dalam masa terdekat – Penganalisis

KEPUTUSAN bersama antara kerajaan dan pembangkang untuk meneruskan memorandum persefahaman (MoU) sehingga pembubaran Parlimen, dijangka bakal menjamin kestabilan di dalam aspek kerjasama politik antara kedua-dua pihak.

Felo Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Dr. Hamidin Abd Hamid berkata, usaha bagi mengekalkan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang yang masih diteruskan itu akan disusuli dengan jangkaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak diadakan dalam masa terdekat.

“Perkara ini menunjukkan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang masih berterusan dan menjamin kestabilan politik sekaligus memastikan Pilihan Raya Umum bukan dalam masa terdekat.

“Ini penting ekoran keadaan negara yang sedang berdepan dengan pemulihan pasca pandemik, masalah ekonomi, inflasi dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Khamis.

Bagaimanapun menurut beliau, pihak kerajaan tidak boleh lupa bahawa perjanjian-perjanjian lain di dalam MoU itu masih terpakai dan masih perlu dipenuhi oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pihak kerajaan masih lagi bertanggungjawab untuk menentukan perubahan-perubahan yang perlu dilakukan sepertimana dalam perjanjian,” ulasnya.

Hamidin berkata, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Ismail Sabri sedang ditekan dan didesak oleh partinya sendiri untuk tidak lagi memperharui MoU berkenaan, namun langkah yang diambil untuk meneruskan MoU sehingga pembubaran Parlimen adalah langkah yang adil kepada semua pihak.

“Sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri sudah tentu ditekan oleh pihak parti beliau sendiri untuk tidak memperbaharui MoU bagi memastikan PRU dilaksanakan lebih awal. Namun, dalam masa sama, Ismail Sabri juga melihat kembali senario politik semasa yang dilihat tidak memberikan ransangan kepada kerajaan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.

“Maka, dengan penerusan MoU ini saya melihat Ismail Sabri bijak memenuhi kehendak partinya sendiri tetapi pada masa yang sama, kerajaan dapat mengekalkan kestabilan politik dalam masa terdekat,” ujarnya.


Mengulas jangkaan bila PRU-15 diadakan, Hamidin berpandangan tahun hadapan merupakan masa yang paling sesuai bagi memastikan kesemua pihak bersedia selain menjamin mood pilihan raya yang lebih baik.

“Saya melihat buat masa ini, kerajaan tidak dapat menjamin mood pilihan raya yang baik untuk mereka mempunyai kelebihan apabila PRU-15 diumumkan.

“Begitu juga bagi pihak pembangkang, saya kira dari segi praktiknya, ia memberikan kelegaan kepada mereka sekiranya pilihan raya diadakan lebih lewat. Inidapat memastikan mereka untuk menyusun strategi mahupun mewujudkan kerjasama politik dengan lebih baik,” ulasnya lagi.

Sementara itu bagi penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Rusdi Omar, keputusan yang dibuat berhubung status MoU itu membuka jalan untuk mengadakan PRU-15 dengan lebih awal.

Katanya, perkara itu adalah ekoran kestabilan kerajaan Ismail Sabri yang disifatkan tidak stabil apabila ia dibentuk bukan atas mandat rakyat.

“PM juga tahu bahawa tanpa mendapat sokongan daripada mandat rakyat, ia memberikan situasi sukar kepada beliau sebagai Perdana Menteri mentadbir negara. Lebih-lebih lagi apabila ramai pihak yang mendesak dan mengugut beliau.

“Jadi, bagi menyelesaikan masalah situasi semasa, maka perlunya pembubaran Parlimen dan laksanakan PRU-15,” ulasnya ketika dihubungi.

Bagaimanapun katanya, beberapa perkara di dalam Parlimen perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum PRU-15 diadakan.

“Contoh yang paling penting ialah, sekiranya Akta Anti Lompat Parti dapat digazetkan, kerajaan selepas ini akan menjadi pentadbir yang betul-betul stabil.

“Jika tengok pada keadaan masa ini, beberapa perkara di dalam Parlimen seperti Akta Anti Lompat Parti belum diselesaikan, saya kira bukan masanya lagi. Selepas akta itu diluluskan, saya percaya itu adalah masa yang sesuai dan tiada lagi masalah yang akan timbul selepas itu,” katanya.–SB