Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
UEC perlu ikut Dasar Pendidikan Negara jika mahu pertimbang pengiktirafan - Radzi -

UEC perlu ikut Dasar Pendidikan Negara jika mahu pertimbang pengiktirafan – Radzi

KERAJAAN kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996, kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Jelasnya, UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama, lapor FMT.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Radzi berkata, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan terhadap UEC, jika ia diubah selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan dilaksanakan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, melaksanakan kurikulum kebangsaan dan menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan sama.

“Penetapan ini bagi memenuhi aspirasi serta keperluan negara pada masa hadapan dan sebagai usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, selaras prinsip Rukun Negara.

“Oleh itu, UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan, sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan,” katanya menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sama ada kerajaan berhasrat mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke universiti awam dan bila kerajaan akan menyalurkan peruntukan kepada SMPC.

Radzi berkata, kementeriannya tidak pernah menyalurkan sebarang peruntukan kewangan kepada SMPC kerana UEC tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta Pendidikan 1996 dan undang-undang lain.