INDEKS Harga Pengeluar Malaysia (IHPR), yang mengukur harga barangan di pintu kilang meningkat sederhana kepada 10.9 peratus pada Jun 2022 berbanding 11.2 peratus direkodkan pada Mei 2022.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata semua sektor merekodkan peningkatan dua angka kecuali bagi sektor utiliti.
Beliau berkata, sektor pembuatan yang menjadi wajaran terbesar dalam IHPR (81.6 peratus), mencatatkan peningkatan 10 peratus pada Jun 2022, namun walaupun subsektor daripada sektor ini merekodkan peningkatan dua angka, aliran peningkatan telah mulai perlahan.
Katanya, pembuatan kok & produk petroleum bertapis merekodkan 22.3 peratus pada Jun 2022, lebih rendah berbanding 22.9 peratus pada Mei 2022.
“Pada masa yang sama, pembuatan produk makanan mencatatkan peningkatan perlahan kepada 18.6 peratus pada Jun 2022 daripada 19.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
“Pembuatan kimia & produk kimia turut menyederhana daripada 11.4 peratus pada Mei 2022 kepada 10.5 peratus pada Jun 2022.
“Sementara itu, 16 subsektor yang lain mencatatkan peningkatan perlahan dalam julat antara 0.4 peratus dan 9.5 peratus. Manakala, dua subsektor merekodkan penurunan dan satu subsektor kekal tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini mengeluarkan laporan bulanan terbaharu iaitu IHPR Pengeluaran Tempatan, Jun 2022.
Mohd Uzir berkata, walaupun harga minyak sawit mengalami sedikit penurunan kepada RM6,106 satu pada Jun 2022 berbanding bulan sebelumnya (RM6,873 satu tan), indeks bagi sektor pertanian, perhutanan & perikanan kekal merekodkan kenaikan dua angka yang perlahan dengan kadar 18.1 peratus berbanding 29.8 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Selain daripada dipacu oleh indeks tanaman kekal, indeks perikanan dan pembalakan turut menyumbang kepada peningkatan dalam sektor ini pada Jun 2022.
“Selain itu, indeks penanaman tanaman tidak kekal dan pengeluaran ternakan meningkat masing-masing dengan 7.5 peratus dan 6.9 peratus.
“Peningkatan pada kedua-dua indeks ini adalah antaranya dipengaruhi oleh kenaikan dalam indeks tomato (34.9 peratus), kobis bulat (22.8 peratus), terung (19.2 peratus), telur ayam (9.7 peratus) dan ayam (lapan peratus),” katanya lapor BH Online.
Beliau menambah, sektor perlombongan merekodkan kenaikan 17.5 peratus pada Jun 2022 berbanding 20.6 peratus yang dicatatkan pada Mei 2022.
Peningkatan, katanya dipacu terutama oleh kenaikan dalam indeks gas asli (43.4 peratus) dan minyak mentah (12.7 peratus).
“Bagi indeks utiliti, kenaikan 2.1 peratus dicatatkan oleh indeks bekalan air, manakala, indeks bekalan elektrik & gas menurun 0.2 peratus,” katanya.
Melihat kepada inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih, Mohd berkata, inflasi di peringkat pengeluar pada Jun 2022 bagi Jerman (32.7 peratus), United Kingdom (16.5 peratus) dan Amerika Syarikat (AS) (11.3 peratus) adalah lebih tinggi daripada Malaysia.
“Kenaikan di Jerman didorong oleh kenaikan harga tenaga (gas asli dan
elektrik). Peningkatan di United Kingdom didorong antaranya oleh produk petroleum (86.1 peratus), kimia & farmaseutikal (22.9 peratus) dan produk makanan (12.3 peratus),” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.