[VIDEO] Bekalan elektrik pulih sepenuhnya

TENAGA Nasional Berhad (TNB) telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada Rabu, jam 3:02 petang.

Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

TNB menerusi satu kenyataan di Facebook pada Rabu berkata, siasatan mendapati gangguan bekalan yang bermula pada jam 12:39 tengahari ini berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor. 

“Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Pada Rabu, beberapa negeri di Semenanjung melibatkan kawasan tertentu turut dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Selain Lembah Klang, gangguan turut berlaku di Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Pahang.

Antara kawasan-kawasan terlibat adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota. – SB