DEWAN Rakyat pada Selasa memutuskan bahawa Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digantung selama dua hari, susulan dakwaan mengeluarkan kata kesat dan lucah di Parlimen, minggu lalu.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, memaklumkan hukuman itu bermula pada Rabu lalu, iaitu beliau sudah mengarahkan Tajuddin keluar Dewan ketika kekecohan berlaku ketika hari kejadian.
Bagaimanapun, pelaksanaan penggantungan hari kedua masih tidak jelas berikutan penyata rasmi Parlimen menunjukkan Tajuddin hadir pada keesokannya, selain Mohd Rashid tidak mengarahkan bekas Ahli MKT UMNO itu keluar daripada Dewan ketika persidangan pada Selasa.
“Ketika Pasir Salak ungkapkan mengenai wanita DAP (Rabu lalu), saya sudah beri amaran. Saya sudah rujuk hansard (penyata rasmi) dan dapati saya minta beliau keluar daripada Dewan Rakyat ketika itu.
“Mengenai (kata kesat dan lucah) huruf ‘p’, saya sudah cari dalam hansard memang tiada. Saya juga sudah membuat rujukan dengan penasihat undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat, lapor BH Online.
Tambahnya, jumlah hari penggantungan yang dihadapi Tajuddin adalah mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2).
“Apabila saya perintahkan Pasir Salak keluar dan tidak sebut berapa hari, kita rujuk pada Peraturan Mesyuarat 44(2).
“Maka keputusan ialah automatik Pasir Salak dapat (penggantungan) dua hari, termasuk hari kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, keputusan Mohd Rashid mencetuskan kekecohan, khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa Tajuddin tidak keluar daripada Dewan pada hari kejadian.
Kekecohan itu menyaksikan beberapa wakil rakyat pembangkang, antaranya Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh bertikam lidah dengan Mohd Rashid, sehingga sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 tertangguh hampir 30 minit.
Ketika pertikaman lidah itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu terpaksa meninggikan suara menegaskan keputusan sudah dibuat, selain memberi dua amaran kepada Kasthuriraani.
“Saya telah buat ruling (keputusan),” tegasnya dalam nada tinggi.
Namun, keengganan Kasthuriraani duduk memaksa Mohd Rashid mengarahkan Ahli Parlimen Batu Kawan itu keluar daripada Dewan Rakyat.
Rabu lalu, Tajuddin didakwa mengeluarkan kata kesat dan lucah berkait dengan kemaluan wanita, ketika Dewan Rakyat kecoh semasa perbahasan RUU Antigangguan Seksual.
Kekecohan itu berlaku selepas Tajuddin menggelar beberapa Ahli Parlimen wanita DAP bersikap tidak senonoh ketika cuba membidas dakwaan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menyifatkan Ahli Parlimen veteran UMNO itu kerap membuat kenyataan berbaur seksis kepada Ahli Parlimen wanita.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.