DATUK Seri Najib Razak memberhentikan Firma peguam Shafee & Co peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan bekas perdana menteri itu membabitkan kes rasuah SRC International.
Menerusi surat kepada Mahkamah Persekutuan bertarikh hari ini, firma itu memaklumkan bahawa Najib telah memberhentikannya daripada mewakili bekas menteri kewangan itu.
“Sila ambil perhatian bahawa pada 25 Julai 2022, jam lebih kurang 5.00 petang, pihak kami telah menerima sesalinan surat dari Najib Razak (Perayu) yang mana perayu telah memberhentikan (discharged) dengan serta merta Tetuan Shafee & Co. daripada bertindak sebagai kaunsel dan peguamcara yang mewakili beliau di dalam Rayuan-Rayuan Jenayah ini dan Prosiding-Prosiding berkenaan.
“Menerusi surat yang sama, perayu telah memaklumkan bahawa beliau telah melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (“ZIST”) sebagai peguamcara,” kata Shafee & Co, memetik laporan Malaysiakini hari ini.
Surat itu menambah bahawa pihak mahkamah boleh menghubungi peguam Zaid Ibrahim untuk sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang bertugas di Shafee & Co mengesahkan kandungan surat itu.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi membatalkan sabitan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan pada 2020 oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah dan menjatuhkan hukuman tersebut.
Sebelum ini anak syarikat 1MDB, SRC merupakan milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga dimiliki sepenuhnya oleh MoF Inc.
Selain merupakan bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.