SEORANG lelaki yang ditahan selepas dipercayai menghina Islam serta beberapa individu menerusi rakaman audio yang tersebar menerusi media sosial dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata ia susulan tempoh tahanan reman terhadap suspek yang berstatus duda berusia 59 tahun berakhir hari ini.
Beliau berkata, suspek sebelum ini ditahan di rumahnya di Chendering, Terengganu kira-kira jam 1 pagi pada 20 Julai lalu.
Tahanan itu, katanya bertujuan untuk menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut. Hari ini, suspek yang berdepan pertuduhan penyalahgunaan dadah turut dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
“Suspek sudah menjelaskan denda dan dibebaskan sementara menunggu arahan daripada pihak pendakwaan,” katanya, lapor BH Online pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai menghina Islam serta beberapa individu menerusi rakaman audio yang tersebar menerusi media sosial sejak 18 Julai lalu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, dilaporkan berkata siasatan awal mendapati rakaman audio itu dilakukan tahun lalu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.