Dewan Rakyat lulus Subseksyen 4(5) SOSMA dilanjutkan lima tahun lagi

DEWAN Rakyat pada Selasa meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul Subseksyen 4(5) SOSMA itu diluluskan selepas undi belah bahagian, dengan menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 88 Ahli Parlimen tidak bersetuju, manakala 21 lagi Ahli Parlimen tidak hadir, lapor Astro AWANI.

Usul berkenaan dibentangkan semula oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas Dewan Rakyat pada minggu lalu meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lepas.

Hamzah ketika sesi penggulungan menafikan dakwaan sesetangah pihak yang mengatakan subseksyen berkenaan adalah satu akta yang zalim.

Sebelum itu, beliau berkata subseksyen itu perlu dilanjutkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan, dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Jelasnya, lanjutan masa itu diperlukan pihak polis bagi mendapatkan keterangan daripada individu ditahan ketika pengumpulan bukti bagi tujuan pendakwaan, termasuk pengesanan rakan subahat yang masih bebas

Bagaimanapun, Hamzah menegaskan Subseksyen 4(5) SOSMA turut memberikan keadilan kepada orang yang ditahan dalam mendapatkan hak dari segi undang-undang, dan ia tidak boleh disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).