Muhyiddin ucap takziah atas pemergian Mustapha Kamal

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga tokoh korporat dan pengasas MK Holdings, Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang meninggal dunia pada pagi Isnin.

“Saya dan keluarga merasa dukacita menerima berita kembalinya ke rahmatullah tokoh korporat terkenal Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar hari ini,” katanya menerusi akaun Facebook peribadinya.

Muhyiddin berkata, Allahyarham memainkan peranan penting dalam sektor hartanah negara selain banyak memberi sumbangan dalam pembinaan rumah untuk kegunaan rakyat.

Jelasnya, ini dapat dilihat menerusi konsep rumah mampu milik yang diperkenalkan dalam usaha memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan hartanah sendiri.

“Selaku pengasas syarikat hartanah, Allahyarham Tan Sri Mustapha banyak menyumbang dalam pembangunan sektor hartanah negara terutama yang melibatkan pembinaan rumah untuk rakyat.

“Allahyarham juga antara ahli perniagaan terawal yang merintis konsep pembinaan rumah mampu milik bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki rumah pertama,” katanya.

Mustapha Kamal disahkan meninggal dunia pada jam 7.45 pagi akibat sakit tua di Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau merupakan pengasas kepada MK Land Holdings Sdn Bhd, syarikat hartanah yang menawarkan rumah mampu milik, terutamanya kepada pembeli rumah pertama.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang soleh,” kata Muhyiddin.