DAKWAAN seorang penganalisis politik bahawa parti Bersatu sedang menuju ‘kematian’ adalah satu analisis berat sebelah yang sarat agenda peribadi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Naaman berkata, bagaimanapun beliau tidak terkejut dengan analisis berkenaan lebih-lebih lagi penganalisis politik terbabit diketahui seorang ahli UMNO yang pernah cuba bertanding bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti berkenaan pada 2013.
“Ini bermakna, analisis yang diberikan oleh individu yang kononnya penganalisis politik ini tidak boleh disifatkan neutral malah berkepentingan politik. Mungkin beliau jenis ahli UMNO yang tidak gemar kepada penyatuan sesama parti yang berasaskan parti Melayu.
“Menerusi kritikan beliau terhadap Bersatu kita sudah boleh nampak analisis yang berat sebelah,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis politik Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman dalam artikel bertajuk ‘Kematian’ Bersatu sudah terserlah’.

Muhammad Faiz berkata, kenyataan Zainul Fithri sangat jelas seorang ahli UMNO yang bertopengkan penganalisis politik.
“Memang jelas ia satu tindakan yang tidak profesional. Dia sepatutnya lebih runsing dengan keadaan parti sendiri, penuh konflik dalaman serta dengan keputusan RoS yang masih belum diketahui berhubung pemilihan parti,” ujarnya.
Mengulas dakwaan Zainul Fithri bahawa Bersatu parti pengkhianat, Muhammad Faiz berkata, Zainul Fithri terperangkap dalam permainan istilah oleh musuh Bersatu.
“Dia kata dia penganalisis tetapi gagal melihat makna lebih besar disebalik penarikan dari Bersatu bersama PH, di mana keputusan itu banyak menyelamatkan nasib Melayu Islam yang ditindas sepanjang pentadbiran PH.
“Mungkin Zainul Fithri lupa pemimpin parti dia juga pengkhianat kerana senyap-senyap mengadakan kerjasama dengan Anwar Ibrahin sehingga membelakangkan keputusan Perhimpunan Agung parti itu. Bukan ini satu tindakan khianat,” ujarnya.
Membidas dakwaan mengatakan Bersatu semakin berpecah, Muhammad Faiz berkata, itu pandangan yang tidak menyemak fakta.
“Isu Edmund Santhara Kumar keluar Bersatu diputarbelit fakta. Malah tuan badan sendiri sudah menafikan perkara itu.
“Dikatakan ahli Bersatu nak sertai UMNO kembali, juga dakwaan tanpa bukti.
“Untuk sesebuah parti yang mempunyai sokongan yang signifikan, yang mempunyai watak-watak yang kuat, ia tidak semudah itu jatuh,” ulasnya lagi.
Mengulas dakwaan Bersatu menumpang populariti Pas, Muhammad Faiz berkata, Zainul Fithri perlu melihat kembali jumlah undi yang diperoleh calon Pas di bawah Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.
“Pas tidak pernah popular di Johor dan Melaka. Namun, apabila bersama PN, ada peningkatan. Dalam erti kata lain Bersatu dan Pas memberi nilai tambah kepada satu sama lain,” katanya.
Tambahnya, membandingkan kekuatan jentera Pas dan Bersatu juga tidak adil kerana Pas sudah lama wujud.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.