Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Platform khas untuk OKU lapor rasuah, salah laku disediakan SPRM -

Platform khas untuk OKU lapor rasuah, salah laku disediakan SPRM

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memperkenalkan satu mekanisme khusus untuk orang kelainan upaya (OKU) menyalurkan maklumat mengenai salah laku dan perbuatan rasuah yang berlaku di persekitaran mereka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali berkata, mekanisme yang mempunyai sistem komunikasi khas itu adalah inisiatif terbaharu SPRM untuk mengenal pasti jika berlaku penyelewengan dana kerajaan untuk OKU.

Katanya, mereka boleh membuat aduan jika peruntukan kerajaan itu yang sepatutnya disalurkan untuk manfaat serta pembangunan komuniti OKU tetapi tidak diberikan kepada mereka.

“Pembangunan platform untuk kemudahan OKU itu bakal dilancarkan oleh SPRM pada bulan depan.

“Menerusi platform itu, komuniti OKU boleh berhubung terus dengan SPRM secara lebih berkesan, menerusi dua kaedah iaitu melaporkan kepada persatuan mereka untuk berhubung dengan kami atau menulis terus kepada kami menggunakan ‘link’ khusus.

“Sebelum ini, tiada platform sedemikian yang boleh dimanfaatkan oleh golongan OKU. Kita mahu semua masyarakat, termasuk OKU, terbabit secara aktif dalam setiap isu berkaitan rasuah. Kewujudan platform ini juga penting sebagai penghubung SPRM dengan komuniti ini,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas pelancaran Program Antirasuah Bersama Komuniti Orang Pekak, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan Presiden Persekutuan Orang Pekak Malayisa (MFD), Mohamad Sazali Shaari.

Ditanya mengenai kepekaan komuniti OKU terhadap isu rasuah, Norazlan berkata, beliau percaya semua pihak tahu mengenai rasuah secara umum, namun kemungkinan tidak mengenal pasti ciri dan sifat rasuah.

“Komuniti OKU ini mungkin sebahagiannya tidak jelas bagaimana rasuah itu berlaku dalam persekitaran mereka. Mereka tidak jelas sifat rasuah itu terjadi seperti menerima barangan atau hadiah.

“Inilah yang kami cuba terapkan dalam semua masyarakat iaitu memahami ciri dan sifat rasuah rasuah itu sendiri. Jika berlaku penyelewengan peruntukan atau dana yang sepatutnya dimanfaatkan dalam komuniti OKU, lapor kepada kami supaya SPRM dapat halang ketirisan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pembabitan komuniti OKU dalam agensi penguatkuasaan itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif 2.4.14 Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dan SPRM akan mengatur pelbagai persatuan lain, termasuk agensi agama untuk mengambil bahagian tidak lama lagi.

Sementara itu, Ras Adiba berkata, beliau menyokong penuh inisiatif itu, yang membolehkan OKU terbabit secara aktif dalam usaha membanteras rasuah.

“Sejak sekian lama kita menunggu komunikasi sebegini kerana kita sedar sebagai OKU, kita mempunyai keterbatasan tertentu yang menyebabkan komunikasi itu tidak berlaku.

“Komuniti akan sedar mengenai jenis rasuah yang berlaku di sekeliling mereka, contohnya hadiah yang diberikan, kita rasa ia okay tetapi ia mungkin unsur rasuah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Mohamad Sazali berharap ahli MFD akan tampil membuat aduan atau memberi maklumat mengenai rasuah menggunakan platform itu.

Beliau berkata, MFD komited dan menyokong segala usaha SPRM dalam memerangi jenayah rasuah.