PH cabar Islam, lebih teruk dari UMNO – Abdul Hadi

0
380

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan tentang ‘bahaya’ yang bakal dihadapi umat Islam dan orang Melayu sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi ruang untuk berkuasa semula di negara ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PH pernah mencabar Islam, Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja-raja Melayu.

“Malangnya kita menghadapi orang Islam yang jahil agama, tak tahu agama dia sendiri. PRU-14 pilih orang bukan Islam jadi wakil rakyat, pilih orang liberal menjadi wakil rakyat. Berlaku kerajaan yang kacau bilau, kerajaan PH, yang lebih teruk daripada UMNO.

“UMNO ada masalah, tapi PH lebih mencabar Islam, mencabar Perlembagaan, mencabar Raja-raja. Gejala-gejala menghina Islam. Ini kerana kejahilan orang Islam. Kita mesti bersabar menghadapi kejahilan orang Islam,” katanya seperti dilaporkan HarakahDaily.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Khas Presiden dan Taklimat Kerajaan Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di Alor Setar malam tadi malam tadi.

Abdul Hadi menambah, serangan pemikiran menyebabkan ramai umat Islam jahil agama sendiri khususnya berkaitan politik di mana musuh juga aktif menggunakan media dan jentera untuk melemahkan dan menghina Islam.

Beliau memberitahu, walaupun sakit dan panas hati, tetapi pejuang Islam mestilah sabar, termasuk oleh musuh yang menggunakan kekerasan kerana tujuan mereka adalah menyekat Islam menjadi kuat dan memerintah.

“Untuk menzahirkan Islam ini mengatasi segala yang lain, tanggungjawab kita memenangkan Islam, mendaulatkan Islam. Allah Taala janji nak bagi kemenangan. Mesti sabar menghadapi kejahatan lawan kita. Kita mesti bijak.

“(Adakan) ribat. Ribat ni termasuklah tunggu sembahyang jemaah, untuk beribadat, tunggu majlis ilmu, menyediakan kekuatan. Ribat, tunggu pangkalan, dalam perjuangan Islam di sempadan, keselamatan, perbekalan, muslimin, muslimat, ada tugas-tugas dia dalam perjuangan, ini ribat.

“Bertugas tubuh cawangan, bertugas kuatkan pentadbiran, bertugas, macam-macam tugas. Termasuk keselamatan. Ini ribat,” katanya.

Abdul Hadi juga yakin PAS akan terus memerintah Kedah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Alhamdulillah dalam taklimat yang diberi, saya dapati PAS Kedah mempunyai jentera-jentera yang sangat mencukupi. Cuma bagaimana kita nak urus jentera-jentera ini supaya berkesan untuk menarik pengundi-pengundi yang seramai-ramainya menyokong kita.

“Kalau boleh kita memerintah bersendirian di Kedah. Bukan kita menumpang kerajaan campuran. Orang tumpang kita, kita menguasai kerajaan, seboleh-bolehnya begitu. Kedah boleh insya-Allah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here