Najib patut kaji sebelum henti bayar waris Sulu – Tun M

0
299

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengkaji sebelum memutuskan untuk menghentikan bayaran penyerahan wilayah sebanyak RM5,300 kepada waris Kesultanan Sulu pada 2013, susulan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Katanya, kajian itu termasuk mengesahkan sama ada pihak yang menyerang Sabah ketika itu dari keturunan Kesultanan Sulu.

“Kita yang berjanji untuk bayar setiap tahun jumlah ini, jadi bila kita janji, kita kena tunai janji walaupun atas sebab serangan. Tetapi, kita juga tak tahu serangan itu oleh keturunan Sultan Sulu atau orang lain.

“Jadi, kita kena kaji dulu dan lepas itu sahkan yang menyerang itu adalah Kesultanan Sulu, barulah kita boleh berhenti (bayar). Tapi ini tidak ada kajian, terus henti (bayar) saja,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terus membuat tuntutan ke atas Sabah di mahkamah timbang tara antarabangsa hingga kini.

“Itu yang menyebabkan masalah kita hadapi sekarang. Sebelum ini tidak ada masalah. Tiap-tiap tahun kita bayar. Bila berhenti, maka mereka bawa kes ke mahkamah Sepanyol, tapi kita tidak iktiraf mahkamah di Sepanyol.

“Sebab dalam membuat hukuman (tuntutan), kedua-dua pihak mesti memberi pendapat dalam mempertahankan kedudukan mereka. Tapi ini dibuat keputusan sebelah saja. Jadi itu kita tak pernah bagi kuasa kepada mahkamah Sepanyol.”

Mengambil contoh isu Batu Puteh, katanya, Malaysia bersetuju dengan pihak yang menuntut supaya isu tuntutan itu dirujuk ke mahkamah.

Walaupun menyokong keputusan Najib menghentikan bayaran RM5,300 setiap tahun kepada waris Kesultanan Sulu pada 2013, tetapi Mahathir mempersoalkan sama ada proses menghentikan bayaran itu mengikut lunas undang-undang dan memenuhi kehendak proses pembatalan perjanjian lama.

“Saya dengar pada masa itu Najib buat kenyataan dia tidak akan bayar (bayaran penyerahan wilayah). Pada masa itu, saya cuma sokong dia saja. Dia yang buat keputusan.

“Tapi, saya diberitahu keputusan itu tidak dirujuk kepada Kabinet dan Dewan Rakyat (pada 2013) dan dia (seolah-oleh) buat keputusan sendiri.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here