BUKAN penahanan atau rampasan senjata api, tetapi gambar yang tersebar semalam adalah pemeriksaan rutin terhadap senjata api, peluru dan peralatan di Pintu Masuk Malaysia – Singapura selepas digunakan dalam latihan ketenteraan kedua-dua negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pemeriksaan semalam antara jam 2.30 petang hingga 4.30 petang oleh sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Pelesenan Kontinjen Johor.
Pemeriksaan dibuat ke atas sebuah treler dan pikap Toyota Hilux di laluan lori keluar Malaysia – Singapura Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
“Ia adalah pemeriksaan rutin bagi setiap senjata, amunisi atau peralatan berkaitan senjata api, sebagaimana surat kelulusan lesen interim oleh Ketua Polis Negara.
“Senjata api, peluru dan peralatan diperiksa bagi tujuan kelepasan oleh Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk masuk ke Singapura selepas latihan ketenteraan selesai bersama pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Polis Johor akan meneruskan tindakan pencegahan jenayah secara agresif bagi membanteras jenayah di negeri ini dan memastikan Johor selamat ,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut Kamarul Zaman, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya apa juga ditular dan menyemak dahulu kesahihan maklumat.
“Polis Johor akan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih,” katanya lapor BH Online.
Sejak semalam, tular di media sosial rekod suara seorang lelaki berdurasi 18 saat yang memaklumkan ada pihak membawa senjata api dari Singapura ke Malaysia di Tambak Johor.
Rakaman suara itu turut disertakan beberapa keping pemeriksaan senjata api oleh PDRM dan KDRM.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.