POLIS telah mengambil keterangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataannya yang didakwa tidak sensitif kepada masyarakat Hindu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya merakam kenyataan Adun Rantau itu semalam bagi membantu siasatan.
“Kita telah ambil keterangan beliau dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Selepas Asia Times menerbitkan wawancara bersama Mohamad, timbalan presiden UMNO itu mendakwa kenyataan yang dibuat terhadap bekas perdana menteri Najib Razak telah dipetik di luar konteks.
Susulan itu, wartawan Asia Times, Nicholas Kochan menerbitkan rakaman audio keseluruhan wawancara tersebut melalui Twitter.
Bagaimanapun ketua sayap bersekutu Bersatu S Gobi Krishnan membuat laporan polis berhubung kenyataan Mohammad semasa wawancara itu di mana dia menyifatkan UMNO membawa “kavadi besar”.
Mohamad didakwa merujuk kavadi sebagai ‘beban’ dalam menggambarkan kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Kenyataan mengenai “kavadi besar” itu tidak diterbitkan oleh Asia Times.
Minggu lalu, polis dilapor sedang mengesan Kochan.
Eng Lai dilapor berkata, mereka yang mempunyai maklumat mengenai pengendali Twitter @NicholasKochan itu diminta tampil menyalurkan kepada pihak polis.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.