Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kes dera kanak-kanak meningkat tahun lepas di Perak -

Kes dera kanak-kanak meningkat tahun lepas di Perak

SEBANYAK 357 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di Perak pada tahun lepas, meningkat 15 kes berbanding 342 kes pada tahun sebelumnya, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) Perak telah membantu mangsa penderaan dengan memberi pemeliharaan dan perlindungan awal serta membuat pemantauan dan lawatan susulan terhadap mangsa.

“JKM turut menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta perkhidmatan sokongan kepada kes kanak-kanak hamil luar nikah dan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual dengan memberi penempatan di institusi JKM iaitu di Taman Seri Puteri, Batu Gajah.

“Bantuan kewangan juga disediakan bagi keluarga yang sanggup memberi penjagaan dan pemeliharaan kepada mangsa penderaan yang disenaraikan daripada Program Anak Pelihara melalui Bantuan Anak Pelihara dengan kadar RM250 sebulan untuk seorang kanak-kanak dan maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih,” katanya dalam sesi soal jawab lisan.

Dr Wan Norashikin (BN-Kampung Gajah) menjawab soalan Leow Thye Yih (DAP-Pokok Assam) yang ingin tahu bilangan kes penderaan kanak-kanak yang dilapor di Negeri Perak pada kedua-dua tahun itu dan inisiatif yang dilakukan oleh jabatan yang berkenaan dalam menangani hal tersebut.

Beliau berkata menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, sebanyak 29 kes pada 2020 dan 23 kes dilapor pada tahun lepas.

— BERNAMA