Kenapa lambat hebah kehilangan Zalina? Ini penjelasan polis

BEKAS personaliti TV3, Zalina Azman, tidak melakukan pergerakan ke luar negara, selain tiada menerima rawatan perubatan di mana-mana hospital, manakala nombor telefon tidak aktif sejak dilaporkan hilang pada November tahun lalu.

Itu antara hasil siasatan diperoleh polis yang melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Zalina atau turut dikenali sebagai Zally, termasuk bertukar maklumat dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Kementerian Kesihatan (KKM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat telekomunikasi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pertukaran maklumat itu mengambil masa dan proses tertentu untuk mendapatkan keputusannya.

Beliau menjelaskan bahawa sebelum pertukaran maklumat dibuat, polis sudah memulakan siasatan sebaik saja menerima laporan kehilangan mangsa daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lalu.

“Pertukaran maklumat dengan beberapa agensi seperti Imigresen, KKM, SSM dan syarikat telekomunikasi sudah dilakukan.

“Antaranya, hasil siasatan mendapati tiada pergerakan ke luar negara oleh mangsa (Zalina), malah tiada rawatan perubatan diterimanya di mana-mana hospital dan nombor telefon mangsa juga tidak aktif sejak dilaporkan hilang.

“Justeru selepas usaha berkenaan (mencari Zalina) tidak membuahkan hasil, pihak polis bertindak mengeluarkan hebahan bagi membantu siasatan,” katanya, lapor BH Online.

Mohd Iqbal berkata, hebahan orang hilang kepada umum adalah langkah terakhir dalam usaha menjalankan siasatan kes orang hilang.

“Polis tidak melambatkan hebahan, sebaliknya kita mengambil masa untuk membuat semakan dengan beberapa agensi berkaitan dalam usaha mengesan mangsa.

“Ia adalah perkara biasa dalam siasatan kes orang hilang, dan hebahan ini juga membolehkan orang awam menyalurkan maklumat.

“Usaha mengesan mangsa memang ada dijalankan selama ini, cuma kita melipatgandakan lagi usaha berkenaan,” katanya.

Penjelasan diberikan Mohd Iqbal itu sekali gus menjawab persoalan mengapa polis mengambil masa hingga lapan bulan sejak kehilangan mangsa sebelum membuat hebahan.

Media sebelum ini melaporkan polis giat mencari Zalina yang dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.