Seorang lelaki yang dipercayai menghina agama Islam dan Nabi Muhammad melalui satu klip video yang dibuat menerusi hantaran di Facebook direman selama empat hari bermula Selasa.
Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret Kuala Krai.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berusia 35 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Menurutnya, lelaki itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, lapor Kosmo!
Terdahulu pada Isnin, media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menghina agama Islam dan Nabi Muhammad melalui satu klip video berdurasi empat minit 14 saat yang dibuat menerusi satu hantaran di akaun Facebook.
Suspek dicekup kira-kira pukul 11.30 pagi semalam di sebuah rumah di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong selepas video tersebut tular di media sosial.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.