Pencuci kapal didakwa bunuh isteri,bayi

0
175

SEORANG pencuci kapal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayinya di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu di sini awal bulan ini.

Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa membunuh Hajar Nursyahirin Rosman, 26, seorang suri rumah pada 11.30 pagi, manakala pertuduhan kedua tertuduh didakwa membunuh anak lelakinya Hans Mohamad Thaqeef berusia dua bulan, pukul 11.40 pagi.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di No 44, Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu pada 4 Julai lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dihantar ke Hospital Permai di sini bagi menjalani pemeriksaan mental.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan lelaki terbabit ditahan pada 4 Julai di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka, di Kampung Bakar Batu.

Lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here