Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Pakatan selepas PRU cadangan realistik - Penganalisis -

[VIDEO] Pakatan selepas PRU cadangan realistik – Penganalisis

CADANGAN mewujudkan pakatan atau kerjasama selepas Pilihan Raya Umum tidak mustahil untuk diadakan mengambil kira situasi politik negara.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, kerjasama itu amat signifikan dalam keadaan parti politik di Malaysia mempunyai kekuatan seimbang dan dihimpit isu dalaman parti masing-masing.

“Sememangnya tiada parti yang boleh berdiri dengan sendiri dalam menubuhkan kerajaan tanpa kerjasama dari parti politik yang lain.

“Trend terkini dalam arena politik Malaysia adalah adanya kerjasama selepas pilihan raya. Jadi, saya tidak nafikan kerjasama politik dalam konteks negara ini semakin signifikan,” katanya kepada SatuBerita.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mengusulkan landskap politik di negara ini memerlukan kompromi dan pakatan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk negara bergerak ke hadapan.

Mohd Izani berkata, bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa pakatan selepas pilihan raya ini mempunyai beberapa cabaran yang perlu ditempuh berbanding mewujudkan pakatan sebelum pilihan raya.

“Saya nampak cabaran apabila mengadakan kerjasama politik selepas pilihan raya seperti adanya mana-mana parti yang menarik sokongan kerana kerjasama yang kurang kukuh.

“Melainkan parti-parti yang bekerjasma meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan berbanding kepentingan peribadi dan politik, kerjasama politik itu akan lebih kukuh,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan idea boleh itu dicapai bergantung kepada kemahuan ahli atau parti dalam memperjuangkan suara rakyat dan negara.

“Persolan boleh atau tidak bagi mewujudkan kestabilan politik dengan idea Anthony ini, ia bergantung kepada sejauhmana keinginan politik ahli politik selepas diberikan mandat oleh rakyat selepas PRU-15.

“Kalau semua orang nampak daripada perspektif politik masing-masing yang sempit, boleh goyah kerajaan itu,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, beliau bersetuju bahawa kemungkinan untuk parti-parti politik untuk mewujudkan pakatan sebelum PRU-15 sukar untuk dicapai apabila mengambil kira ego dan ideologi parti yang berbeza.

“Tapi kalau kita tengok kepada keinginan dan kemahuan parti politik dalam mengadakan pakatan atau kerjasama, saya lihat ia sudah tidak menjadi mustahil.

“Walaupun hubungan mereka tidak konsisten, saya lihat idea ini tiada masalah,” ulasnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau berpandangan konsep pakatan selepas PRU-15 ini juga boleh direalisasikan dengan mampan sekiranya akta anti-lompat parti diwujudkan.

“Mungkin Anthony melihat, kalau parti-parti sebagai satu pakatan boleh bentuk kerajaan, mereka boleh kukuhkan mandat sekurang-kurangnya sehingga penggal habis.

“Namun, kalau sekadar pakatan, isu ahli politik menukar pakatan memang boleh berlaku atas dasar kepentingan peribadi atau kepentingan politik masing-masing.

“Ini sudah berlaku di Melaka, kerajaan yang stabil di sana tiba-tiba jatuh kerana ada ahli politik yang melompat parti. Ia seperti tiada sesuatu yang menghalang mereka,” ulasnya lagi. —SB