Apandi jelaskan peranannya dalam rundingan Jho Low

BEKAS peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Sabtu cuba untuk menjelaskan peranannya dalam rundingan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau juga dikenali sebagai Jho Low dengan kerajaan berhubung tawaran untuk menyelesaikan dakwaan berkait 1MDB.

Menurut laporan dikeluarkan MalaysiaNow, beliau berkata peranannya hanyalah sebagai fasilitator kepada rundingan tersebut.

“Ya,” jawabnya ringkas apabila ditanya tentang perkara itu.

Dalam satu kenyataan yang berasingan, Apandi berkata beliau didekati oleh pihak Kobre & Kim yang berpengkalan di Washington DC, Amerika Syarikat untuk berjumpa dengan pejabat Peguam Negara pada penghujung Mei 2022.

“Saya mengaturkan beberapa pertemuan yang mana wakil Kobre & Kim datang ke Malaysia.

“Pada mesyuarat yang berlangsung di pejabat Peguam Negara itu, kerajaan Malaysia diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dan pegawainya, serta seorang pegawai kanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Jelas Apandi, rundingan itu kelihatan positif semasa sedang berlangsung, namun dibatalkan oleh pejabat Peguam Negara secara tiba-tiba.

Portal The Edge melaporkan Low yang merupakan figura tumpuan dalam skandal 1MDB semasa pentadbiran Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak, menawarkan kira-kira RM1.5 bilion bagi menyelesaikan kesnya.

Sebelum ini, Apandi dalam satu laporan MalaysiaNow melaporkan bahawa maklumat berkenaan pertemuan tersebut adalah sulit.

Selain itu, keberadaan Low ketika ini masih tidak diketahui, namun waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan SPRM.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat turut mendakwa bahawa Low telah mengambil berbilion wang daripada 1MDB.