‘Saya sedar diri, tak pernah ‘pakai’ gelaran ikon permotoran’ – Haqiem Stopa

0
1115

HAQIEM Stopa atau nama sebenarnya Haqiem Jaafar, 22, yang mencetuskan polemik apabila dikatakan berstatus “mat rempit” dibenarkan masuk ke sekolah, menegaskan tidak pernah menerima atau sama sekali memakai gelaran ikon permotoran negara.

Dia yang popular dengan nama Stopa berkata, jolokan ikon itu diberikan secara berseloroh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dalam perbualan biasa, namun diambil serius warganet.

“Saya tak terima apa-apa sijil atau gaji berkenaan dengan ikon itu. Memang ikon permotoran selayaknya adalah orang berbakti kepada negara bukanlah saya.

“Orang lain terlalu mengambil serius. Dekat Facebook semua orang ambil serius. (Persoal) kenapa dia? Kenapa dia? Sedangkan kita pun memang tak layak, cuma benda itu (anugerah ikon) sekadar bualan saja.

“Kita (saya) pun tak boleh buat apa. Orang ulang-ulang ikon permotoran, ikon permotoran, tak habis-habis,” katanya, lapor FMT.

Katanya, tanpa gelaran ikon sekali pun, dia tetap bekerja seperti biasa menguruskan perniagaan percetakan baju jenama “Stopa”, selain mengusahakan usahasama perniagaan dengan bengkel dan juga syarikat hiburan.

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan, yang memiliki lebih 800,000 pengikut di TikTok memberitahu, dia dijemput ke pejabat timbalan menteri itu untuk berkongsi perihal jumlah pengikutnya yang ramai dan apa boleh dibuat untuk memberi impak positif kepada mereka.

“Saya berjumpa dengan YB atas jemputan. YB ingin berkenalan dengan saya…siapakah saya? Bagaimana saya boleh ada pengikut ramai? Apa yang saya buat dengan pengikut ramai?

“Saya hanya nak ubah persepsi masyarakat pada kita (mat rempit) supaya diberi peluang. Kita pun ada masa depan. Ada saja mat rempit yang berjaya cuma orang tak tahu. Macam pemilik ESR Motor. Dia memang juara kat Malaysia, boleh pakai (kereta) Lamborghini. Semua dia mampu pakai dan perniagaan dia amat berjaya,” katanya.

Stopa yang merupakan anak bongsu daripada 12 beradik sedar jolokan ikon diberikan timbalan menteri menimbulkan rasa kurang senang terhadap dirinya, termasuk mereka yang sudah mengharumkan nama negara dalam dunia permotoran.

Terdahulu, pemenang Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Affendi Rosli mengajak Stopa berentap di litar, namun ia ditolak secara baik.

“Yang ajak beradu berlumba memang saya tak terima sebab (pertama) masalah kesihatan. Kedua itu bukan bidang saya. Dia pelumba negara, saya sekadar minat (motor) dan saya berniaga. Kalau saya pergi berlumba dah tentu saya kalah. Tapi kalau kita tukar, dia tak semestinya boleh berniaga.

“Kita dah jawab yang kita tak layak pun untuk berlumba dengan mereka dan tak ada keuntungan apa-apa pun untuk kita berlumba,” jelasnya yang memulakan penjenamaan peribadi (personal branding) pada 2019 dengan hanya 2,000 hingga 3,000 pengikut sahaja.

Stopa turut menjawab kontroversi dijemput ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi untuk memberi ceramah, yang mengundang kecaman warganet.

“Ia hanya perkongsian daripada seorang yang kena buli ‘cyber’ yang sangat teruk dan pengalaman seorang yang pernah gagal dan dahagakan peluang kedua. Persoalan terakhir daripada pelajar ‘abang galakkan tak orang berhenti sekolah dan ikut laluan seperti abang?’

“Saya kata pada mereka, andai boleh ditukar (masa), saya nak (kembali ke zaman) sekolah. Saya tak nak kehidupan yang macam sekarang sebab saya sakit sangat-sangat. Awak nak tak? kaki patah, popular tapi kena kecam walaupun ada duit.

“Saya tak normal macam orang lain. Saya pakai tongkat. Kaki saya dah tak berfungsi dengan baik. Saya mengalami kemalangan dua tahun lepas. Insya-Allah saya cuba untuk sembuhkannya tapi perlukan kos tinggi dan masa untuk sembuh agak lama,” katanya yang sudah menerima “silver button” selepas mendapat 100,000 pelanggan di YouTube.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here