Ikut idea Rafizi bermakna BN menang besar PRU15?

0
277

Oleh KAMARUL KHAIRY

RAFIZI Ramli menggesa ahli akar umbi PKR untuk memilih 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dari kalangan pemimpin yang menolak idea untuk bekerjasama dengan gabungan atau parti selain Pakatan Harapan (PH) atau “khemah besar” pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara yang disenaraikan bekas ahli Parlimen Pandan itu ialah: Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir, aktivis mahasiswa Fahmi Zainol, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina @ Nor Azrina Surip, Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam dan Ahli Parlimen Hulu Selangor June Low.

Secara idealnya, memang bagus. Tidak perlu kerjasama dengan sesiapa dan bina kekuatan sendiri.

PKR mungkin akan menjadi kuat, tetapi untuk memenangi pilihan raya umum, mungkin memerlukan lagi 10 hingga 20 tahun.

Ini bermakna, sekiranya ahli PKR mengikut idea Rafizi ini, Barisan Nasional (BN) sudah tentu akan menang besar pada PRU15 seperti mana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Dan sekiranya BN menang besar, katakanlah berjaya mendapatkan kembali majoriti dua pertiga di Parlimen, apakah nasib rakyat Malaysia pada ketika itu?

Dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, pelbagai perkara boleh dilakukan BN untuk terus mengukuhkan kuasa termasuk meminda Perlembagaan dan melakukan persempadanan semula pilihan raya yang sudah pasti menguntungkan mereka.

Bagaimanakah agenda reformasi yang diketengahkan PH semasa menjadi kerajaan dan semasa menandatangani perjanjian persefahaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

Yakinkah Rafizi BN yang menang besar PRU15 akan meneruskan agenda reformasi ini?

Tanpa kerjasama dengan gabungan dan parti di luar PH, sejauh manakah calon MPP yang diketengahkan Rafizi seperti ahli Parlimen Hulu Selangor yakin mampu mempertahankan kerusinya pada PRU15?

Pada PRU14, June Low berjaya mendapatkan 40,783 undi mengalahkan calon BN P Kamalanathan, 27,392 undi, calon PAS Dr Wan Mat, 16,620 undi dan calon bebas Kumar S Paramasivam 426 undi.

June berjaya mendapatkan majoriti selesa 13,391 undi.

Perlu diingat kemenangan June semasa PRU14 adalah disebabkan Bersatu masih bersama PH dan aura Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya membawa sejumlah pengundi Melayu untuk menyokong.

Dan kerusi Hulu Selangor ini bukanlah kerusi tradisi PH dan lebih sinonim dengan BN.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

Pada PRU14, beliau berjaya mendapatkan 34,706 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Hamim Samuri yang mendapat 26,040 undi dan calon PAS, Rusman Kemin yang mendapat 4,668 undi.

Syed Ibrahim berjaya mendapat majoriti selesa 8,666 undi.

Yakinkah Syed Ibrahim beliau akan menjadi ahli Parlimen bagi penggal kedua sekiranya tiada khemah besar pada PRU15?

Ini hanyalah antara contoh kerusi Parlimen yang bakal PKR hilang pada PRU15 sekaligus menjadikan parti itu kecil dalam PH.

Dan sekiranya keadaan ini berlaku dan PKR hilang kebanyakan daripada kerusi Parlimennya, bagaimanakah layanan rakan-rakan komponen PH kepada parti dipimpin Anwar Ibrahim pada ketika itu? – 14 Julai, 2022.

Tulisan ini pertama kali disiarkan di Malaysian Insight adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here