DUA beranak maut setelah kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu dua buah lori, sebuah van serta kereta di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, Pahang pada pukul 11 pagi semalam.
Muhammad Padillah Hussin, 52, dan dan anaknya Nurul Solehah Muhammad Padillah, 23, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, Proton Wira dipandu Muhammad Padillah dalam perjalanan dari arah Segamat, Johor menghala ke Kuantan manakala tiga kenderaan lain dari arah Kuantan menghala ke Segamat.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai termasuk ke laluan bertentangan lalu melanggar tayar belakang sebuah lori sebelum bertembung dengan van.
“Proton Wira itu kemudiannya termasuk semula ke laluan asal manakala van terbabit dilanggar sebuah lagi lori yang berada di belakangnya. Dua beranak itu serta pemandu van terbabit kemudiannya dibawa ke HTAA.
“Pada pukul 1.53 petang, Muhammad Padillah disahkan meninggal dunia di wad kecemasan HTAA. Pada pukul 6.39 petang pula, Nurul Solehah disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) HTAA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, pemandu van berusia 36 tahun itu patah tangan kanan manakala dua pemandu lori berumur 32 dan 38 tahun tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.