SERAMAI empat nelayan warga Indonesia dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Malaysia kira-kira pukul 7 pagi semalam.
Kejadian itu dilaporkan salah seorang mangsa yang ditemukan selamat oleh bot nelayan tempatan menjumpai lelaki berkenaan sedang terapung di kedudukan 13.8 kilometer dari barat Sungai Kongsi, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melalui Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) petang semalam bagi mengesan empat mangsa lain.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot mangsa dipercayai karam kira-kira pukul 7 pagi semalam dan pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 12.25 tengah hari semalam daripada pemilik sebuah bot nelayan tempatan.
”Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, bot Kilat 26 Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mangsa tersebut di perairan Gertak Sanggul seterusnya melakukan pencarian awal bagi mengesan baki rakan mangsa yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dan temubual awal ke atas mangsa yang terselamat iaitu seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Aswin, 43, memaklumkan, dia dan rakan-rakan lain yang berusia 30 hingga 55 tahun telah keluar ke laut dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia.

Katanya, mangsa memaklumkan mereka keluar menangkap ikan dan telah berada di laut hampir lima hari sebelum bot mereka bocor dan karam ketika dalam perjalanan belayar pulang.
“Pemeriksaan juga mendapati mangsa tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Tambahnya, menurut mangsa dia dan rakan sempat memakai jaket keselamatan sebelum masing-masing hanyut dan terpisah antara satu sama lain dalam keadaan laut yang bergelora dan angin kencang.
Jelasnya, usaha pencarian yang masuk hari kedua hari ini sedang giat dilakukan dengan keluasan 77.7 kilometer dan membabitkan aset Maritim Malaysia buat masa ini memandangkan lokasi bot yang disyaki karam tidak dapat dikenal pasti dan dipercayai berada di tengah laut.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.