TEMAN lelaki Siti Nuramira Abdullah, wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan komediri, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memuat naik kandungan menghina dalam media sosial.
Penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus, lapor Free Malaysia Today (FMT).
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Satu Berita melaporkan, pada sebelah pagi, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghina Islam.

Tertuduh yang tular dalam media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Sebelum ini wanita itu telah ditahan pada 10 Julai lalu dan direman selama tiga hari.
Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi kelab terbabit susulan satu klip video tular tersebut.
Dalam video berdurasi 54 saat yang tular, tertuduh yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.