Sindiket seleweng minyak masak, diesel subsidi RM1.9 juta tumpas

0
306

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak dan diesel bersubsidi bernilai RM1.904 juta dalam serbuan di Sungai Kolapis, Beluran di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas, berkata serbuan dilakukan jam 3.30 petang dibantu Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran itu menemui 9,690 kilogram (kg) minyak masak paket satu kg di atas kapal yang ditahan.

“Serbuan ini adalah hasil risikan selama tiga minggu dilakukan KPDNHEP Sabah bagi mengenal pasti kegiatan terbabit.

“Semua barangan kawalan itu dipercayai cuba dijual ke negara jiran dan seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Georgie berkata, penjaga kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen sah menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen/

“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Georgie berkata, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan Ops ATM, sebanyak 1,162 premis diperiksa di seluruh Sabah.

“Sebanyak 23 kes dihasilkan mengikut kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here