KERAJAAN disarankan untuk tidak bergantung kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR) semata-mata untuk menangani inflasi kerana perkara ini akan menjejaskan kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan M40.
Pakar ekonomi, Prof. Madya Dr Ahmad Azrin berkata golongan B40 mempunyai subsidi bersasar manakala golongan M40 terbeban dengan pembiayaan rumah, kad kredit dan pinjaman peribadi.
“Ada banyak kesan sampingan daripada peningkatan OPR ini kepada keseluruhan kos sara hidup, terutamanya golongan M40.
“Ini kerana B40 sudah ada banyak bantuan daripada kerajaan seperti subsidi bersasar. Malangnya ada golongan tertinggal dan memerlukan perhatian kerana mengalami impak besar malah tidak mendapat bantuan.
“Saya kurang bersetuju dengan kenaikan OPR semata-mata, mereka perlu memberikan fokus kepada rantaian bekalan yang menjadi punca inflasi seperti ayam, ikan dan daging,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Selain itu, beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Terengganu menjangkakan OPR akan dinaikkan sekali lagi pada hujung tahun 2022.
“OPR akan naik seperti sebelum ini, pada hujung tahun OPR dalam 25 mata asas akan naik lagi sebab nampaknya sekarang ini kerajaan percaya ini salah satu cara dilihat untuk mengekang inflasi,”
“Pada kadar 25 mata asas, kemungkinan besar peningkatan untuk pinjaman yang menggunakan kadar apungan.
“Sekiranya seseorang meminjam RM100,000 akan ada peningkatan pembayaran sebanyak RM15 sebulan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus menunjukkan peningkatan kedua berturut-turut tahun ini. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.