2 suspek kes khianat di CIQ dikenal pasti warga Singapura

0
349

Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

DUA suspek yang terlibat dalam kejadian khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri pada Sabtu lalu sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kedua-dua suspek itu merupakan warga Singapura dan kini berada di republik berkenaan.

“Ya, suspek telah dikenal pasti identitinya dan dipercayai mereka sudah berada di Singapura.

“Kami akan bekerjasama dengan polis republik itu bagi mengesan mereka. Polis juga telah menerima laporan daripada mangsa yang merupakan warga Singapura,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi kenyataan kelmarin, Rahmat berkata, kejadian khianat itu dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa telah bergesel dengan kereta dipandu dua suspek terbabit.

Dalam kejadian pada Sabtu itu, mangsa yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan telah bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.

“Suspek telah berhentikan kenderaan sebelum seorang lelaki dan seorang perempuan kemudiannya turun dari kenderaan terbabit.

“Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan mengeluarkan perkataan serta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

“Sementara itu suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampak nombor pendaftaran itu ke arah cermin hadapan kereta mangsa,” katanya.

Sebelum itu tular dalam media sosial memaparkan sebuah video yang berdurasi 2.06 minit berhubung kejadian terbabit.

Video itu memaparkan tindakan seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kenderaan jenis Alphard dan menahannya daripada bergerak di Linkedua. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here