Anak minum sirap selepas tak mampu beli susu, nasib keluarga dapat perhatian

SAMBUTAN Aidiladha tahun ini lebih bermakna bagi keluarga Mohamad Firdaus Omar, 34, kerana tidak perlu lagi mengalas perut tiga anak kecilnya dengan minum sirap akibat terputus bekalan susu tepung bagi mengelak mereka menangis kelaparan.

Firdaus berdepan masalah kewangan selepas tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan, manakala isterinya, Nurul Syazwani Abdul Raop, 29, terpaksa memberi penjagaan kepadanya serta mengurus anak kecil berusia setahun hingga lima tahun di rumah.

Katanya, tahun ini, Aidiladha lebih ‘meriah’ selepas ramai pihak sudi berkongsi rezeki bersama keluarganya dari kalangan insan yang menyatakan hasrat memberikan bantuan dari Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Pahang dan Johor.

“Alhamdulillah, kami menggunakan sebahagian wang untuk membeli bekalan susu bagi anak bagi menampung keperluan sebulan dan selebihnya kami akan gunakan bagi tujuan sama pada bulan depan.

Malah kami juga akan menggunakan sumbangan barangan dapur seperti beras dan lampin pakai buang yang disalurkan kepada saya dengan sebaik mungkin.

“Hanya Allah saja dapat membalas jasa kalian dan saya syukur dengan segala sumbangan serta keprihatinan anda,” katanya menurut Harian Metro.

Nasibnya turut mendapat perhatian ADUN Tiram, Azizul Bachok.

Katanya, masalah dihadapi Firdaus sudah disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi tindakan lanjut.