Oleh RIZQI ZABIDI
POLIS masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan yang tular di media sosial menyatakan terdapat anggota polis mengambil wang dari dompet seorang individu di Kulim, Kedah baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta supaya individu berkenaan membuat laporan polis.
Meskipun tiada laporan diterima katanya, pihaknya kini sudah pun menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.
“Ketua Polis Balai terlibat akan memanggil semua pihak terbabit bagi mendapatkan keterangan dalam isu berkenaan.
“Tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan dalam kejadian itu termasuk pegawai dan anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini seorang lelaki membuat hantaran berserta gambar di kumpulan Facebook ‘Kulim Info’ meminta mana-mana individu yang kehilangan dompet agar menuntutnya di Balai Polis Kulim Hi Tech kerana dia telah menyerahkan dompet tersebut kepada pihak polis.
Susulan itu, seorang lelaki lain menulis komen di hantaran tersebut.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada individu yang menemui dompet berkenaan, dia memaklumkan bahawa adiknya yang merupakan pemilik dompet tersebut sudah pun menuntut dompetnya di balai polis dimaksudkan.
Begitu pun katanya, berlaku kejadian tidak diduga di balai polis tersebut apabila adiknya mendapati wang miliknya kurang RM200 daripada jumlah sepatutnya sedangkan gambar dompet yang dipaparkan di Facebook, jelas menunjukkan bahawa wang itu masih ada.
Berikutan itu dakwanya, adiknya mahu membuat laporan berhubung perkara tersebut sebelum polis terlibat memulangkan wang berkenaan.
Mengulas lanjut Mohd. Redzuan berkata, pihaknya memohon agar masyarakat tidak mengeluarkan kenyataan berdasarkan dakwaan yang tular itu kerana pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim tidak akan berkompromi dalam hal sebegini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.