BERANG ditegur kerana tidak bekerja dipercayai menjadi motif utama pembunuhan pasangan suami isteri di sebuah rumah di Taman Bercham Aman, Bercham di sini semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berlaku pertengkaran antara suspek dan kakak iparnya disebabkan isu tersebut selain dia dikatakan merosakkan komputer di rumah berkenaan.
Katanya, suspek yang berang bertindak menyerang mangsa sebelum memukul suami wanita itu yang juga abangnya, datang untuk membantu.
“Suspek dikatakan seorang panas baran dan cepat marah di mana pertengkaran dengan kakak iparnya kerana isu tidak bekerja membawa kepada pembunuhan mangsa.
“Kita juga percaya terdapat motif lain iaitu membabitkan dendam lama antara suspek dan mangsa, namun, ia masih dalam siasatan polis,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online.
Menurut Mior Farid, selain menjumpai sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam insiden pembunuhan berkenaan, pihaknya percaya terdapat senjata lain yang digunakan suspek semasa kejadian.
Katanya, senjata yang digunakan itu dipercayai sebilah pisau berukuran kecil dan tali untuk menjerut leher mangsa.
“Mangsa cedera parah akibat ditetak di kepala dan tangan menggunakan mata kapak manakala objek tumpul pula membabitkan kesan kecederaan menggunakan belakang kapak.
“Terdapat senjata lain yang mungkin digunakan dalam kejadian itu dan kita masih berusaha mendapatkan barang kes berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya membuat semakan terhadap rekod kesihatan lelaki itu dan dia disahkan tidak mempunyai masalah mental.
“Berdasarkan semakan, kita juga tidak pernah menerima sebarang laporan polis daripada mangsa berkaitan suspek sebelum ini.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di mana suspek direman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Suspek berusia 61 tahun yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga milik kakak iparnya itu berjaya diberkas dalam tempoh 11 jam selepas laporan polis di sebuah hotel di Genting Highlands pada pukul 7.45 malam, semalam.
Suspek ditangkap bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden pembunuhan berkenaan.
Menerusi laporan media semalam, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah.
Mayat kedua-dua mangsa itu dijumpai oleh abang kepada mangsa lelaki pada pukul 8.50 pagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.