Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Warga emas parah disondol babi hutan di dusun -

Warga emas parah disondol babi hutan di dusun

SEORANG warga emas parah diserang oleh seekor babi hutan di dusun buah-buahan yang terletak bersebelahan rumahnya di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput, Kota Bharu pukul 9 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan mangsa, Umar Ngah, 78, cedera parah pada lengan kiri dan luka di kepala, telinga serta beberapa anggota badan.

Cucu mangsa, Mohamad Nizam Mohamad, 34, berkata, ketika kejadian, dia sedang membakar sate tempahan pelanggan di pekarangan rumahnya yang terletak selang sebuah rumah daripada rumah mangsa.

Katanya, secara tiba-tiba dia terdengar jeritan kuat datuknya yang meminta tolong sebelum dia bergegas ke arah bunyi tersebut.

“Semasa sampai di kawasan dusun itu, saya nampak seekor babi hutan sedang menyondol datuk dan mereka bergelut.

“Datuk jatuh ke dalam parit sedalam semeter dan babi tersebut pula berhenti apabila melihat saya datang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurutnya, babi tersebut tidak melarikan diri sebelum bapanya datang membawa kayu dan menghalau babi tersebut, lalu haiwan itu masuk semula ke dalam hutan.

“Saya angkat datuk bawanya ke rumah dan menghubungi ambulans sebelum dia dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk rawatan.

“Setakat ini, datuk masih berada di unit kecemasan Hospital USM,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Zakiah Deraman, 76, berkata, sebelum kejadian itu, dia dan suaminya sempat bersarapan bersama di sebuah gerai makan berhampiran sebelum mangsa ke dusun buah untuk mengutip durian.

“Suami saya memberitahu teringin makan buah durian sebelum berjalan kaki dari kedai makan ke dusun buah-buahan di bersebelahan rumah kami.

“Sebelum ini, sekumpulan 13 hingga 15 ekor babi sememangnya kerap berkeliaran di kampung ini dengan memakan dan merosakkan tanaman penduduk,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kejadian menimpa suaminya itu pertama kali berlaku sejak sekian lama ancaman babi di kawasan kampung berkenaan.

“Sebelum ini sudah banyak kali operasi dilakukan oleh pihak berwajib bagi menghapuskan haiwan yang merosakkan tanaman penduduk,” katanya.