SPRM serbu syarikat rekrut pekerja asing milik ‘Datuk Seri’

0
346

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa syarikat milik seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk Seri” yang terbabit dalam pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Portal FMT yang memetik sumber melaporkan, serbuan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, serta syarikat berkenaan terbabit dalam membangunkan satu sistem pengurusan pendaftaran pekerja asing.

Belum ada tangkapan dibuat setakat ini, tetapi sumber tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan bagi membantu siasatan.

FMT tidak mendedahkan nama syarikat terbabit sementara menunggu pengesahan.

Sumber itu berkata, Putrajaya pada 2015 bersetuju menggunakan sistem berpusat yang dibangunkan syarikat terbabit dan ini membabitkan memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa negara, termasuk Bangladesh.

Katanya, ahli perniagaan itu dipercayai mengawal majoriti 25 agensi Bangladesh yang baru-baru ini dipilih untuk pengambilan pekerja asing di sana.

“Kebanyakan pekerja asing yang ingin bekerja dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Isu ini telah dibangkitkan beberapa NGO dan ahli politik yang tidak puas hati dengan kegiatan monopoli suspek terbabit.

“Dengan hanya mengehadkan 25 syarikat, maka ianya menutup peluang syarikat-syarikat lain untuk berniaga. SPRM telah menerima beberapa aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa daripada beberapa NGO berkaitan.”

Sumber itu berkata, siasatan SPRM akan memfokuskan rasuah serta penyalahgunaan kuasa, dan akan membabitkan dua kementerian terlibat dalam pengambilan pekerja asing.

Terdahulu, The Business Post di Bangladesh melaporkan SPRM menyerbu pejabat salah sebuah syarikat itu dan menahan beberapa pegawai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here