KPDNHEP Terengganu buka 5 kertas siasatan kes minyak masak

0
261

LIMA kertas siasatan dibuka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) Terengganu membabitkan pembungkus, pemborong dan industri kecil sederhana (IKS) berhubung kes minyak masak.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesemua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan di bawah Ops Ayam, Telur Ayam, Minyak Masak (Ops ATM) bermula 23 Jun lalu hingga semalam.

Beliau berkata, tiga kesalahan iaitu masing-masing berlsku dua di Kuala Terengganu dan satu di Dungun.

Katanya, IKS terbabit menggunakan minyak masak melebihi kuantiti yang dibenarkan tanpa permit iaitu melebihi 12 kilogram.

“Dua lagi kesalahan masing-masing membabitkan pembungkus dan pemborong di Kuala Terengganu serta Dungun. Ia mengikut Peraturan 13, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu gagal menyelenggara buku stok barang kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan pemeriksaan IKS di Muslim Food Industry di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus hari ini, lapor Harian Metro.

“Kesemua kesalahan ini dikesan hasil 434 pemeriksaan di seluruh Terengganu membabitkan 366 peruncit, 36 pemborong, 19 IKS dan 13 pembungkus.

“Pemeriksaan ini susulan daripada pengapungan harga minyak masak tulen bagi pek kemasan botol dan penetapan harga kawalan siling terbaharu bagi ayam dan telur ayam,” katanya lagi.

Saharuddin berkata, Ops ATM akan berakhir 31 Julai ini dan pihaknya akan melakukan pemeriksaan secara berterusan sama ada hasil aduan atau secara proaktif di peringkat KPDNHEP sendiri.

Beliau berkata, pihaknya ketika ini menjalankan pemeriksaan bersasar terhadap 13 syarikat pembungkus minyak masak paket bersubsidi di Terengganu.

“Seramai 115 penguat kuasa digerakkan untuk melakukan pemeriksaan selain pemantauan berterusan turut dilakukan 58 pegawai pemantau harga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here