Jangan leka, subvarian Omicron pantas merebak – Khairy

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengambil ringan jangkitan wabak Covid-19.

Perkara ini memandangkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 menunjukkan trend merebak dengan pantas dalam komuniti negara ini.

Beliau berkata, setakat ini, lebih 110 negara sudah merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang didorong oleh dua subvarian berkenaan, lapor BH Online.

“Selain Malaysia, negara jiran seperti Singapura dan Indonesia juga mengalami peningkatan kes.

“Ramai orang di sekeliling kita yang tidak dijangkiti Covid-19 sepanjang dua tahun lalu kini sudah dijangkiti,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitter peribadinya pada Selasa.

Selain itu, Khairy turut mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan pemakaian pelitup muka selain mengambil pendekatan untuk mengelakkan penyebaran wabak itu.

“Pakai pelitup muka di tempat tertutup dan kawasan sesak serta amalkan langkah-langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS),” katanya.

Selain itu, Khairy menegaskan, sesiapa yang belum mendapatkan dos penggalak untuk lakukan dengan segera terutama kepada warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini dilihat sedang merebak di beberapa negara termasuk Asia seperti Thailand, Filipina, India selain Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Semalam, sebanyak 2,932 kes baharu Covid-19 dilaporkan iaitu meningkat daripada 1,918 kes sebelum itu.