1.9 juta kenderaan di Lebuhraya PLUS mulai esok

0
344

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari sempena cuti perayaan Aidiladha bermula esok hingga Selasa depan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pengguna boleh merancang perjalanan dengan menggunakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan sepanjang tempoh perayaan itu bagi mengelak kesesakan.

“Kami menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya setiap hari semasa musim cuti Aidiladha ini berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari biasa.

“Berdasarkan kajian kami bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak mematuhi jadual TTA ini.

“Oleh itu, kami menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengikuti jadual TTA, merancang perjalanan lebih awal serta membuat persiapan untuk menempuh perjalanan yang dijangka lebih sesak dan panjang,” katanya, lapor BH Online.

Katanya, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi pada 7 hingga 10 Julai.

“Mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri lain dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari.

“Bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri, pengguna lebuh raya pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi, 10 hingga 12 Julai ini,” katanya.

Beliau berkata, pengguna lebuh raya juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka.

“Pastikan baki dalam kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mencukupi untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID.

“Pengguna lebuh raya juga dinasihat memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jauh selain mematuhi had kelajuan di lebuh raya, elakkan memandu terlalu rapat dengan kenderaan lain dan berehat sebentar untuk menyegarkan diri di kawasan rehat dan rawat (R&R),” katanya.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi Plus, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here