Fadhlina Sidek menang Ketua Wanita PKR

Ketua Wanita PKR Selangor, Rodziah Ismail, yang sebelum ini dilapor memenangi jawatan Ketua Wanita PKR pada Pemilihan PKR 2022, diumumkan tewas kepada Senator Fadhlina Sidek.

Keputusan yang dianggap mengejutkan itu diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Berdasarkan keputusan itu, Fadhlina memperoleh 18,923 undi berbanding Rodziah dengan 18,891 undi, iaitu perbezaan 32 undi.

Keputusan akhir Pemilihan PKR 2022 yang disiarkan menerusi laman web https:\\pemilihankeadilan2022.com menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan jawatan Presiden tanpa bertanding, manakala Rafizi Ramli dipilih sebagai Timbalan Presiden menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan 59,678 undi.

Jawatan Ketua Majlis Pimpinan Angkatan Muda dimenangi aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim yang menewaskan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol.

Mengulas mengenai keputusan akhir pemilihan itu, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa, berkata JPP meneliti laporan audit pakar digital dan menerimanya berdasarkan bukti berasas menerusi analisis digital.

Katanya, dapatan audit mendedahkan wujud percubaan menggodam keputusan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pakar audit memberi cadangan mengemas kini rekod pengundian. Proses pemutihan dilaksanakan berdasarkan keputusan analisis digital itu.

“Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjejaskan keputusan kemenangan sebahagian besar calon, baik di peringkat pusat mahupun di peringkat cabang,” katanya lapor BH Online.