PARTI Tindakan Demokratik, DAP menjangka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan tahun depan, kata setiausaha agungnya Anthony Loke.
Beliau berkata ruang bagi kemungkinan PRU-15 diadakan tahun ini agak terhad, kerana ia tidak mungkin diadakan dalam masa terdekat.
Ini berikutan keadaan semasa kerajaan yang sedang jenuh menangani isu inflasi dan pasti akan mengambil masa selama beberapa bulan.
“Ruang berikutnya mungkin selepas pembentangan Bajet 2023, namun tempoh hujung tahun ini juga mungkin tidak akan diadakan pilihan raya disebabkan musim hujan,” katanya, lapor Bernama.
Katanya, beliau berpendapat PRU mungkin diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun depan (April), atau mungkin juga lebih awal.
Tempoh penggal semasa Parlimen tamat pada Julai tahun depan.
Merujuk kepada penggunaan logo bagi pakatan pembangkang pada PRU itu nanti, Loke berkata tiada keputusan dibuat berhubung perkara berkenaan setakat ini, dan beliau berharap ia dapat dimuktamadkan bulan depan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.