Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Banjir Baling: Jakim diarah selaras bantuan musa’adah -

Banjir Baling: Jakim diarah selaras bantuan musa’adah

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah agar menyelaras segera bantuan Musa’adah bersama-sama pihak berkuasa di Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas akibat banjir di Baling.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata selain Jakim, agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah jabatannya juga telah diminta untuk turut bersama turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan, lapor Bernama.

“Saya mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah. Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat,” katanya menerusi satu catatan di laman Facebook miliknya.

Beliau turut mendoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian itu

Selain itu, Idris menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah haji di Makkah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Setakat pukul 2 pagi Selasa, 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling sudah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana banjir kilat kira-kira pukul 4 petang semalam.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata Jabatan Pendidikan Kedah serta Pejabat Pendidikan Baling telah diminta bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuka sekolah untuk dijadikan PPS banjir.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan situasi ini serta memastikan kebajikan warga pendidikan yang terkesan diberikan perhatian.

“Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan usaha membantu serta menyelamatkan penduduk terlibat dipermudahkan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Beliau berkata setakat ini kira-kira sembilan sekolah di bawah KPM di kawasan itu dilaporkan terkesan akibat banjir.