32 OKU penglihatan berjaya tawan Bukit Dinding 

0
504

SERAMAI 32 belia membuktikan mereka mampu menawan Bukit Dinding di Wangsa Maju, di sini, seperti insan yang sempurna fizikalnya, sekalipun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan. 

Misi menawan bukit itu dijayakan menerusi Program Eksplorasi Belia Kurang Upaya Penglihatan anjuran Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), baru-baru ini yang bertujuan memberi pendedahan kepada golongan OKU penglihatan untuk turut sama merasai keindahan alam semula jadi flora dan fauna yang sentiasa menjadi tarikan utama pengunjung. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAB George Thomas berkata program itu juga bermatlamat memupuk kesedaran kepada golongan berkenaan mengenai usaha kerajaan dalam mengekalkan kelestarian hutan simpan dan alam semula jadi. 

“Program di bawah unit Belia, Sukan dan Rekreasi persatuan turut disertai 14 sukarelawan dan kakitangan MAB, akan terus diperluaskan meliputi pelbagai aktiviti pada masa akan datang di seluruh negara,” katanya, lapor Bernama. 

Seorang peserta pendakian, Evelyn Angut Palau, 31, menanggap misi ke Bukit Dinding berketinggian 291 meter dari paras laut itu sebagai mencabar memandangkan ini merupakan pengalaman pertamanya dalam aktiviti mendaki. 

Pemain negara dalam sukan khas OKU penglihatan ‘goalball’ itu mengambil masa selama sejam untuk tiba di puncak bukit bersama seorang pengiring. 

“Saya sangat teruja walaupun mengalami kekejangan kaki pada awal pendakian, namun ia tidak menjadi pematah semangat, ditambah lagi dengan sorakan dan sokongan daripada kawan-kawan. 

“Saya jadi tidak percaya apabila berjaya sampai ke puncak sehingga tidak sedar menghabiskan kira-kira 30 minit di atas sana,” katanya yang berasal dari Kapit, Sarawak. 

Berbeza situasi bagi Nurain Bokari, 30, yang dilahirkan dengan penyakit stargardt (STGD) yang menyebabkan penglihatannya kabur, mengakui menggemari aktiviti sukan lasak seperti mendaki, berkhemah dan berenang. 

“Saya kerap menyertai aktiviti seperti ini. Pada saya menjadi OKU bukan satu halangan untuk terlibat dalam aktiviti lasak. 

“Apa yang penting, kami perlu berusaha lebih keras untuk berjaya, namun saya tetap akui ada beberapa perkara tetap membataskan pergerakan kami,” katanya yang pernah mendaki Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor sebelum ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here