PELBAGAI jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM262.3 juta dirampas pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding nilai rampasan bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu bernilai RM683.3 juta.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, sebanyak 69,648 kes dengan 81,706 individu ditahan atas kesalahan berkaitan bahan terlarang ini.
Mereka ditahan mengikut pelbagai seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 55,560 kes dan 66,889 tangkapan.
“Sepanjang tempoh enam bulan ini sebanyak 10,464 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 2,394 liter pelbagai cecair dadah, 69,132 kg daun ketum dan 44,809 liter air ketum dirampas dengan nilai rampasan berjumlah RM262.3 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, polis merampas 15,397 kg pelbagai jenis dadah, 5,342 liter pelbagai cecair dadah, 148,407 kg daun ketum serta 54,267 liter air ketum dengan nilai rampasan RM683.3 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor BH Online.
Selain itu, beliau turut berkata, sepanjang tempoh enam bulan ini juga PDRM berjaya membongkar enam makmal haram memproses dadah.
Ia membabitkan 18 tangkapan, manakala dalam tempoh sama tahun lalu 10 makmal haram dibongkar dengan 51 tangkapan.
Mengenai aset sindiket dadah yang dilucut hak, Noorsiah berkata, aset dianggarkan bernilai RM79.2 juta disita sepanjang tempoh enam bulan ini dengan aset bernilai RM9.06 juta sudah berjaya dilucut hak.
“Bagi tempoh sama tahun lalu, aset dianggar bernilai RM87.6 juta disita dengan aset bernilai RM8.6 juta berjaya disita,” katanya.
Seramai 997 individu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dalam tempoh enam bulan ini, berbanding 557 individu bagi tempoh sama tahun lalu.
“PDRM, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Kita berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran yang berlaku melalui talian hotline JSJN ditalian 012-2087222,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.