Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KPM kaji cara bantu masalah literasi murid -

KPM kaji cara bantu masalah literasi murid

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) ketika ini sedang dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan kaedah pengajaran bersesuaian bagi menangani masalah tahap penguasaan literasi yang masih rendah dalam kalangan pelajar di negara ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata langkah itu perlu diberi perhatian kerana terdapat segelintir murid masih tidak mampu membaca dengan baik walaupun sudah memasuki sekolah menengah.

Menurut beliau, isu berkenaan terdedah apabila pihaknya bertemu sendiri dengan guru sekolah menengah di lapangan bagi mendengar permasalahan murid dalam menguasai literasi.

Beliau berkata permasalahan itu bukan perkara baharu malah ia telah wujud sejak sebelum pandemik Covid-19 melanda, lapor Bernama.

Justeru, beliau akan berbincang dengan Ketua Pengarah Pendidikan untuk merangka pendekatan berbeza bagi membolehkan pengajaran literasi dilaksanakan dengan berkesan serta program intervensi literasi awal.

Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-29 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, Pahang pada Isnin.

Sementara itu, Radzi, berkata pihaknya sudah maklum akan dakwaan terdapat guru yang terpaksa ‘menipu’ dalam memberi pemarkahan kepada murid atau pelajar semata-mata untuk memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka tercapai.

Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat harus faham bahawa tindakan guru itu adalah satu perkara yang subjektif kerana mereka kadang-kadang berdepan dengan tekanan.

“Kita kena faham, ulasan (pemarkahan) diberikan guru itu adalah berdasarkan justifikasi mereka. Jadi untuk kita kata bahawa guru ini menipu, guru itu tidak menipu, ia merupakan satu perkara yang agak subjektif.

“Tetapi saya tidak nafikan perkara ini mungkin ada berlaku dan kita juga sedar bahawa terdapat keperluan untuk kita bergerak bersama dengan kepimpinan pendidikan bagi memahami perkara sebenarnya yang ingin kita capai daripada sistem pendidikan,” katanya.