Isu penjualan air zam zam atas talian, KKM beri amaran 

0
44

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu penjualan air zam zam secara dalam talian (online) yang disiarkan oleh media tempatan pada 28 Jun 2022. 

Pemakluman berkaitan kesalahan penjualan air zam zam ini telah diuar-uarkan kepada orang ramai sejak tahun 2015 lagi dan telah pun terdapat beberapa kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan. 

Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.  

Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.  

Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan. 

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.  

Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen. Justeru itu, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya.  

Hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan sejak tahun 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.  

BKKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform  dalam talian (online) termasuk e-dagang. Sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.  

Daripada jumlah tersebut, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zam zam. 

Menurut laporan Bernama, hasil pemantauan di media sosial pada tahun 2021 dan 2022 mendapati sebanyak 23 dan 40 iklan air zam zam masing-masing telah dipadam daripada media sosial. 

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun. 

KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian (online) terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam zam tiruan.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here