Warganegara Vietnam berenang ke pelantar diselamatkan

0
83

SEORANG nelayan warganegara Vietnam bertindak nekad terjun dari bot dengan mengikat plastik pada badan dan berenang ke pelantar yang terletak pada jarak 152.2 batu nautika dari muara Kemaman, Terengganu, kelmarin.

Menurut laporan BH Online, mangsa dikenali sebagai Truong Van Tam berjaya diselamatkan pekerja pelantar Piatu Timur kira-kira jam 8.45 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelantar berkenaan mengenai kejadian orang jatuh laut membabitkan lelaki warga Vietnam.

Beliau berkata, mangsa menyelamatkan diri dengan berenang ke arah pelantar berkenaan sebelum diselamatkan pekerja di sana.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan negatif COVID-19 berdasarkan ujian yang dijalankan terhadapnya. Bantuan perubatan dan makanan turut diberikan pihak pelantar kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Pihak kami berjaya membawa mangsa ke Pangkalan Bekalan Kemamam (KSB) di Kemaman jam 8.30 pagi tadi sebelum mangsa diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal kita tidak menolak kemungkinan mangsa cuba melarikan diri kerana membawa sekali barangan peribadi seperti telefon bimbit, pengenalan diri, beberapa wang kertas Vietnam dan kad bank,” katanya.

Siasatan susulan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here