[VIDEO] Kos sara hidup tetap meningkat

0
360

WALAUPUN kerajaan telah mengekalkan beberapa subsidi barangan tertentu, pengguna berpendapat kos sara hidup tetap meningkat kesan daripada kenaikan harga barangan lain.

Tinjauan SatuBerita baru-baru ini mendapati pengguna masih menanti tindakan holistik kerajaan mengatasi masalah kos sara hidup yang terus meningkat setiap hari.

Penjawat awam, Imran Harith, 45 menjangkakan kos sara hidup akan meningkat rentetan daripada kenaikan harga minyak masak yang semestinya menjadi punca kepada kenaikan harga.

“Minyak masak ni merupakan sumber makanan harian. Maknanya, apabila ia naik, barang-barang lain dan kos sara diri pun akan naik jugalah,” katanya.

Bagi Ambareen Arshad, 34, kenaikan harga barangan yang kerap berlaku kebelakangan ini memberi kesan terhadap kehidupannya sekeluarga.

“Sememangnya, saya nampak ada kenaikan harga barangan secara drastik pada tahun ini dengan penambahan harga hampir mencecah RM1 atau RM2 bagi setiap barangan.

“Bagi saya sekeluarga, pendapatan kami adalah seperti sebelum ini tetapi harga cukup tinggi, jadi saya rasa memang beri kesan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Farith Yusof, 29, beban pengguna tidak berkurangan kerana isu kos sara hidup sebelum ini masih belum diselesaikan.

“Mereka perlu tahu yang kita mempunyai masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya lihat mereka tidak memberi segala bentuk sumbangan mahupun mencari jalan untuk membendung isu ini daripada berlaku,” katanya.

Selain itu, dia turut percaya kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) selain mencari jalan penyelesaian bersifat holistik dan menyeluruh.

“Bagi saya, subsidi ini buatlah secara bersasar untuk bantu golongan yang susah serta memerlukan. Kemudian, mereka perlu fokus untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang, itu sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here