Wujud taskforce pulihkan semua sungai tercemar di Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KERAJAAN negeri akan mewujudkan satu Taskforce Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai di Johor sebagai usaha memulihkan semua sungai yang tercemar di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, taskforce itu akan dilaksana secara berperingkat dan fasa pertama fokus di Johor Bahru dan Kulai kerana kerap berdepan isu pencemaran sungai.

“Masalah sampah dalam sungai di negeri ini bukan perkara baru. Kutipan sampah bagi Sungai Tebrau dan di Sungai Skudai yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melebihi 500 tan setahun dengan berkenaan kos penyelenggaraan tahunan berjumlah RM650,000. 

“Ini tidak termasuk sampah sarap yang dikeluarkan dari sungai oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) iaitu sebanyak hampir 900 tan setahun di Sungai Tebrau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Pembersihan Sungai Tebrau dan Pelancaran Bot Scavenger Perangkap Sampah di Sungai Tebrau di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Raven Kumar berkata, pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan kebersihan sungai termasuk pemasangan lebih banyak struktur perangkap sampah, melaksanakan program ‘public outreach’ dan mengadakan aktiviti kebersihan secara gotong-royong.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, dua buah bot ‘scavenger’ perangkap sampah kendalian JPS akan digunakan di semua sungai seluruh Johor bagi membersihkan sampah sarap.

Katanya, bot yang boleh memerangkap tiga tan sampah sarap di sungai untuk sekali trip itu, akan dimulakan di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai yang merupakan antara sungai tercemar di negeri ini.

Beliau berkata, terlalu banyak sampah sarap domestik yang dibuang ke dalam sungai khususnya di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.

“Sebanyak 85 tan sampah sarap di Sungai Tebrau dikutip dalam tempoh sebulan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) manakala di Sungai Skudai terdapat 70 tan sampah sarap dikutip dalam tempoh sama.

“Bot ini akan beroperasi setiap hari, kita akan lihat tahap efektif bot ini, jika ianya membuahkan hasil kita akan tambah lebih banyak bot untuk membuat kerja pembersihan. Setakat ini yang buat kerja pembersihan sungai, selain JPS ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membelanjakan puluhan ribu ringgit sebulan,” katanya.

Tambahnya, bot itu hanya membantu membersihkan sungai namun apa yang paling penting peranan semua pihak termasuk masyarakat yang perlu menanamkan rasa sayang dan menjaga kebersihan sungai. – SB