PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata, sekiranya beliau merupakan Perdana Menteri, beliau akan menangguhkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sehingga habis penggal iaitu pada Jun tahun depan.
Mohamad mengulas spekulasi bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan hujung tahun ini berikutan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan akan tamat pada 31 Julai.
“Jadi kalau tak ada pilihan raya bulai Julai, serah pada PM lah nak lanjut (perjanjian) atau tidak.
“Kalau saya PM, saya mahu sampai habis penggal, bulan 6 tahun depan,” katanya memetik laporan FMT hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada ‘Sidang Nadi Rakyat di Petaling Jaya, hari ini.
Ditanya mengenai tarikh yang tepat, Mohamad berkata: “Itu serah pada PM-lah. Saya tak masuk campur.”
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak beberapa bulan kebelakangan ini menerima tekanan termasuk dari dalam UMNO dan BN untuk mempercepatkan pilihan raya umum.
Pada bulan lalu Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan melewatkan PRU ‘walaupun sesaat’ sekiranya Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia.
Sementara itu, Mohamad berkata, beliau bersedia sekali lagi mengetuai protes jalanan bagi membantah kenaikan harga barang jika diminta berbuat demikian.
“Kalau perlu saya akan turun. Memang saya akan turun ke jalan raya semula. Bila-bila diputuskan.
“Kita fokus pada kenaikan harga barang rasuah, penyelewengan,” kata Mohamad sambil menambah perbincangan juga akan diadakan bersama NGO lain.
Diminta mengulas mengenai 10 pemimpin PH yang dipanggil polis kerana terlibat dalam protes kenaikan harga barang di luar masjid Kampung Baru semalam, Mohamad berkata, polis hanya menjalankan tugas mereka.
Terdahulu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali hadir di Balai Polis Dang Wangi, manakala lapan lagi dijangka merekodkan keterangan mereka pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Syeikh Umar dalam satu kenyataan berkata, dia disoal siasat oleh pihak polis selama kira-kira 40 minit.
Dia hadir di balai polis berkenaan dengan ditemani peguam Syahredzan Johan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.