Polis tahan lelaki tumbuk kepala ayah sendiri

POLIS menahan seorang lelaki kerana dipercayai menumbuk dan memukul ayah kandungnya dalam pertengkaran di Kampung Indah Permai, Tasek Permai di Ampang, pukul 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa kejadian suspek yang berusia 33 tahun berada di rumah bersama ayahnya.

“Berlaku pertengkaran antara suspek dan ayahnya yang berumur 63 tahun. Suspek bertindak menumbuk kepala mangsa berulang kali menggunakan tangan serta mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya menghubungi polis.

“Punca kejadian disebabkan mangsa tidak mempercayai kata-kata suspek selepas mengesyaki suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Katanya, suspek mempunyai tiga rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapatamine.

Menurut Mohamad Farouk, suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.